Isnin, 5 Oktober 2015

Istimewanya isteri

Melayan isteri secara terbaik adalah tuntutan Islam 

Oleh DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 09 September 2015

HUBUNGAN suci suami isteri perlu berasaskan piawaian hukum syarak
HUBUNGAN suci suami isteri perlu berasaskan piawaian hukum syarak agar apabila dilanda badai bahtera rumahtangga tetap utuh - GAMBAR HIASAN
SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca dalam akhbar dan media massa tentang keruntuhan rumahtangga masyarakat Islam. Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan bawahan malah golongan berada juga tidak dapat lari daripada permasalahan ini. Ia juga tidak terhad dalam kalangan orang tidak mempunyai didikan agama malah kumpulan ini juga seringkali terjerat di dalam polemik ini.

Walaupun umat Islam berlumba-lumba mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat terhadap orang lain, tetapi sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita. Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.

Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa hadis Rasulullah yang menerangkan kepentingan memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya. Umpamanya, Rasulullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud: “Ingatlah, terimalah wasiatku, gauli wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila mereka melakukan perkara tersebut, maka janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri-isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri-isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik.” - Riwayat Tirmizi

Sabda Rasulullah di atas jelas memberi panduan kepada kita tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri harus dilakukan. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri yang terletak di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara yang menyimpang dan keji telah diberikan garis panduan menanganinya.

Oleh yang demikian melayani isteri dengan cara yang terbaik amatlah dituntut dalam Islam. Wanita dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai signifikan amat besar. Tulang rusuk itu sebenar terlalu hampir dengan hati. Oleh itu wanita hendaklah sentiasa berada di hati lelaki (suami) untuk dicintai. Wanita tidak dijadikan daripada kepala untuk dijunjung atau dipuja oleh lelaki, mereka juga tidak dijadikan daripada kaki untuk dipijak atau dihina. Inilah kedudukan istimewa wanita yang telah dinobatkan oleh Islam. Tulang rusuk yang bengkok itu pula simboliknya perlu diluruskan dengan penuh hati-hati dan penuh hikmah agar tidak patah semasa diluruskan.

Ahad, 4 Oktober 2015

Kecewa dengan isteri bengkeng

Selalu diherdik dan dibentak isteri yang panas baran

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 09 September 2015

Sikap isteri yang panas baran boleh mengeruhkan rumah tangga.-
Sikap isteri yang panas baran boleh mengeruhkan rumah tangga.- Gambar hiasan
Sudah lama lelaki ini memendam perasaan, sudah lama juga dia ingin meluahkan kepada seseorang tetapi tidak berkesempatan, namun menerusi e-mel yang dihantar agak lama dahulu, sekurang-kurangnya dapat memberikan dia sedikit ruang untuk mengendurkan tekanan yang dialami rentetan daripada sikap isterinya.

Mat adalah panggilan buat lelaki ini yang berusia hampir 30 tahun, dan mempunyai dua orang anak, berusia 3 dan 4 tahun. Mat dan isterinya bekerja di sebuah syarikat yang sama.
Memandangkan duduk di Kuala Lumpur ini memerlukan perbelanjaan yang besar, pasangan suami isteri itu duduk sekali bersama mentua, kakak dan abang iparnya.

Menurut Mat, sebelum mereka berkahwin lagi, dia sudah mengetahui perangai isterinya itu yang sangat panas baran. Dibesarkan sebagai anak bongsu dan manja, sudah tentu isterinya, Nana, mendapat banyak perhatian daripada ibu dan ayahnya, yang kebetulan orang berada.

“Saya yang hanya pekerja biasa di sebuah syarikat kecil kepunyaan ayah mentua, tidak menyangka cinta saya akan disambut oleh Nana yang pada ketika itu baru belasan tahun usianya. Malah nasib saya baik kerana kedua-dua mentua merestui perkahwinan saya bersama anak mereka biarpun kami tidak setaraf.

“Dalam bulan pertama hubungan saya dan isteri berjalan lancar. Dia melayan saya dengan baik, biarpun banyak kekurangan dari segi layanan, namun saya terima segalanya memandangkan saya pun tiada kelebihan.

“Masuk bulan kedua, Nana mula menunjukkan belangnya yang suka memberontak dan asyik tidak berpuas hati.

“Pada mulanya saya biarkan saja, kerana berpendapat mungkin pembawaan budak memandangkan pada waktu itu dia mula mengandung. Namun sikapnya semakin menjadi-jadi. Di pejabat dia akan membentak pekerja-pekerjanya, kalau tidak berpuas hati dia akan mencampakkan barangan atau fail di atas meja. Saya hanya mampu melihat dari jauh kerana bekerja di bahagian lain.

Sabtu, 3 Oktober 2015

Pengorbanan yang sia-sia

Ditinggalkan suami walaupun berkorban untuk keluarga 

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 23 September 2015

kapsyen
Berkesempatan melawat rakan yang terlantar di hospital setelah lama tidak bersua, bertukar menjadi sesi ibu tunggal tiga anak itu meluah perasaan.

Rasa terkejut yang amat sangat apabila dia mengakui telah telah bercerai dua tahun yang lalu setelah suaminya beralih arah kepada kekasih lama yang memang sanggup menunggunya sejak zaman persekolahan lagi.

Maria, 44, memberitahu sejak diceraikan suami, dia yang menanggung kehidupan keluarganya. Bukan itu sahaja, dia juga yang menanggung kehidupan bekas ayah dan ibu mentuanya yang tinggal di dalam rumah itu, selain adik iparnya yang mengalami masalah penglihatan.

“Kami membeli rumah itu sejak 10 tahun lalu. Ansuran bulanan saya yang bayar sejak bertahun lalu. Anak-anak kami sudah besar, masing-masing berumur 18, 16 dan yang bongsu 13 tahun.”

“Anak-anak memang di peringkat remaja, semuanya memerlukan duit bagi tujuan pembelajaran mereka. Yang sulung sudah ke kolej, yang kedua akan menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) manakala yang kecil masih lagi bersekolah. Adik ipar saya pula memerlukan perbelanjaan untuk ke sekolah khas, manakala ayah dan ibu mentua pula sudah uzur.

“Namun, saya masih bernasib baik kerana mereka berdua ini tidak menyusahkan kerana masih larat untuk berjalan dan menguruskan diri sendiri. Kalau terlantar di katil susah juga kerana memerlukan orang untuk menjaga mereka,” kata Maria.

Dek asyik memikirkan bebanan kewangan menyebabkan dia diserang darah tinggi dan dimasukkan ke dalam wad untuk berehat.

Biarpun begitu, dia tidak sesekali menyifatkan bekas ayah dan ibu mentua serta adik ipar yang tinggal bersamanya membebankan, cuma agak terkilan dengan sikap bekas suaminya yang langsung tiada perasaan untuk menjenguk mereka.

Bukan itu sahaja, nafkah untuk anak-anak dan orang tua itu pun tidak pernah dihulurkan. Kini segala-galanya Maria yang uruskan dari soal duit rumah, belajar, makan sehinggalah perubatan.

“Kehidupan saya agak terhimpit setelah bercerai. Ada yang mengatakan kepada saya kenapa bermurah hati untuk menanggung ayah dan ibu mentua serta adik ipar, sedangkan anak kandungnya selepas kahwin hilang lenyap tanpa berita.

Materialistik, pergaulan 
bebas punca curang

Sumber : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Gaya hidup moden, mewah, serta terdedah kepada pergaulan bebas ada kalanya menyebabkan sebuah ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta, kasih dan sayang runtuh begitu sahaja.

Menurut Perunding Keluarga di Zura’s Akademik, Faizan Mohd. Nor, peningkatan kes curang saban tahun dalam kalangan wanita dilihat mempunyai hubung kait dengan sikap materialistik masyarakat yang memiliki keinginan menjalani gaya hidup mewah.

Katanya, apabila kehendak dalam kehidupan menjangkaui tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul boleh menimbulkan krisis rumah tangga hingga berlaku kecurangan dalam perkahwinan.

“Apabila semakin tertekan dengan kehendak duniawi yang gagal dipenuhi oleh pasangan, amat mudah bagi mereka mencari jalan pintas dengan menduakan pasangan selagi impian untuk memiliki sesuatu berada di depan mata. Malah saya tidak menolak hubungan itu akan berakhir dengan penceraian,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia berhubung satu siasatan yang dilakukan oleh seorang penyiasat persendirian, Datuk M. Venodevan mendedahkan sekurang-kurangnya 15 peratus suami dan 11 peratus isteri didapati curang dengan pasangan.

15% suami, 11% isteri curang

Siasatan dapati pasangan terlibat berusia antara 40-an hingga 50-an 

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 2o/09/2015

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Hampir 15 peratus daripada golongan suami manakala 11 peratus isteri di negara ini pernah atau sedang berlaku curang terhadap pasangan mereka.

Perkara ini didedahkan oleh seorang penyiasat persendirian, Datuk M. Venodevan kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini, berdasarkan pengalaman pihaknya yang diminta untuk menyiasat atau memantau pasangan kepada pelanggan mereka.

Menurut Venodevan, berdasarkan kajiannya, 33 peratus daripada semua kes curang akan berakhir dengan perceraian apabila kecurangan itu terbongkar atau diketahui oleh pasangan.

“Sebagai rujukan dan perbandingan, di Amerika Syarikat, lebih 60 peratus lelaki pernah dan sedang berlaku curang sama ada secara menjalin hubungan sulit dengan perempuan simpanan, melawat pusat pelacuran atau melakukan hubungan seks di luar tabii.

Pasangan suami isteri curang melampau?

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20 September 2015

MUKADIMAH - ALAM perkahwinan pastinya sesuatu yang diimpikan oleh setiap individu.
 Setiap lelaki dan wanita mahu menjadikan pertalian mereka sebagai satu hubungan yang sah atau halal di sisi agama, sekali gus mahu bergelar suami isteri. Bagaimanapun, banyak dugaan atau ujian ditempuhi pasangan dalam mengejar kebahagiaan sejati selepas bernikah. Antaranya, apabila kelakuan si suami atau si isteri berubah tiba-tiba sahaja. Perubahan sikap itu sering kali dikaitkan dengan tabiat yang paling merisaukan iaitu curang. Lebih parah jika kecurangan itu berpenghujung atau bermotif memuaskan nafsu dengan melakukan seks atau maksiat bersama individu lain. Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR mencari sejauh manakah kebenaran kes curang ini dalam kalangan pasangan suami isteri di Malaysia. Ia banyak diperincikan menerusi perkongsian oleh seorang penyiasat persendirian, DATUK M. VENODEVAN (gambar).

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Adakah kurang kasih sayang, bosan rutin kehidupan atau terlalu mengikut nafsu? Adakah itu puncanya sehingga sanggup curang kepada pasangan?

Rupa-rupanya janji setia hanyalah kata-kata yang diluahkan oleh pasangan suami isteri pada peringkat awal perkahwinan. Namun, ujian yang mendatang setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga cukup hebat, sehinggakan perasaan dan perlakuan masing-masing berubah.

Dugaan berumah tangga datang pelbagai bentuk dan pasangan perlu bersedia menghadapinya, supaya tidak menjejaskan perhubungan mereka hingga menyebabkan kes perceraian.

Menurut seorang penyiasat per­sendirian, Datuk M. Venodevan berkata, meskipun kes curang melibatkan sama ada yang muda mahupun berumur, tetapi perbuatan tidak setia terhadap pasangan itu dilihat semakin serius dalam kalangan yang berumur antara 40-an dan 50-an.

“Sepanjang pengalaman kami menyiasat kes-kes sebegini, 60 pe­ratus melibatkan si suami manakala 40 peratus wanita yang curang terhadap pasangan mereka dengan menggunakan pelbagai kaedah.

Jumaat, 2 Oktober 2015

1,644 kes keganasan rumah tangga dilaporkan

Oleh : SAIFULIZAM MOHAMAD

sumber : utusan malaysia
tarikh : 01/10/2015

PUTRAJAYA 1 Okt. - Sebanyak 1,644 kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga April tahun ini telah dilaporkan dan daripada jumlah itu, 1,236 kes membabitkan golongan wanita.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jumlah tersebut berdasarkan kepada statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga merupakan rakan strategik kementerian.


Beliau berkata, keganasan rumah tangga tersebut melibatkan penderaan fizikal, mental, seksual, sosial dan ekonomi hingga menyebabkan mangsa mengalami trauma yang rumit.


Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen 90 Hari Menangani Keganasan Wanita 2015 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Didiklah anak lelaki tahu hormatkan ibu

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/09/2015

1
PADA pandangan saya apa yang ingin saya bicarakan hari ini ada berlaku dalam masyarakat kita sekarang, walaupun tidak banyak. Terutama dalam kalangan generasi berusia antara 30 hingga 40-an yang kurang kesedaran dan mungkin juga kurang mendapat didikan agama, hingga ada kalangan mereka kurang menghormati ibu bapa.

“Akibatnya ada antara mereka menyusahkan hati dan hidup ibu bapa mereka. Inilah yang berlaku dalam keluarga saya, kerana itu saya ingin katakan di sini bahawa saya redha malah bersyukur dengan pemergian ibu saya. Pemergiannya telah mengurangkan bebanan, tekanan jiwa dan perasaan yang selama ini ditanggungnya.’’ Itu cerita Rosnizar dalam e-melnya.

“Mungkin pembaca cop saya keterlaluan, tetapi inilah kebenaran. Saya amat sedih dan kesian dengan nasib ibu sejak muda hingga tuanya sentiasa dilingkari masalah. Semasa ayah ada dahulu, ibu terpaksa memberi sepenuh perhatian kepada ayah. Tetapi ayah buat tak nampak kehadiran ibu. Ibu siapkan makan minum, pakaian, mengurus anak-anak, urus rumah tangga sebaik-baik mungkin, tetapi ayah tidak pernah berpuas hati ada sahaja yang tak kena di hatinya. Pada ayah, ibu tak lebih daripada tukang urus rumah tangga dan pengurus anak-anak.

“Masa kecil dulu memang saya tak tahu, saya hanya lihat ibu sering menangis, duduk sendirian dan kurang bergaul dengan jiran, kalau bercakap pun cuma di luar pagar, ibu tak berapa suka keluar rumah apa lagi bertandang ke rumah jiran, rumah itulah dunianya dan sentiasa sibuk mengemas rumah, memasak dan anak-anak.

“ Pergaulan dan percampuran ibu agak terbatas. Sudahlah tidak berbual dengan jiran, dengan ayah sendiri pun ibu kurang bercakap. Sebab ayah tak suka bercakap dengan ibu. Sebabnya saya tak tahu. Kalau ibu cuba bertanya pun ayah payah nak jawab. Dia buat tak dengar.

“Tetapi kalau berbual dengan jiran, rakan pejabat dan anak-anak lelakinya, ayah memang ramah, ada saja ceritanya. Bila ibu cuba bertanya ayah contoh, sebagai contoh “ayah hendak ke kedai ke, saya nak minta belikan barang dapur yang sudah habis!’’ ayah buat macam orang pekak. Bila tak masak ayah marahkan ibu kenapa tak beritahu lebih awal. Menyusahkan ayah kena keluar lagi pergi kedai, sedangkan dia balik rumah nak makan.

“Ayah dalam seminggu dua kali balik rumah, dulu memang saya tak tahu, bila dah besar baru saya tahu ayah ada isteri baru. Sebab itu dia jarang balik. Bila ada dua rumah, gaji kecil memang hidup kami susah, semuanya kena berjimat. Untuk pengetahuan pembaca, ibu tak dibenarkan keluar rumah membeli keperluan dapur sendiri, semua ayah siapkan. Memang ayah suami bertanggungjawab, tetapi bila ada dua rumah bajet ciput tentu makan selalu tak cukup.

Terapi permainan untuk mangsa keganasan

Bantu pulihkan trauma, emosi silam kanak-kanak teraniaya 

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 24 September 2015

Dari semasa ke semasa masyarakat dikejutkan dengan laporan media berkaitan keganasan rumah tangga yang mencatatkan peningkatan sebanyak 35 peratus hingga 40 peratus setiap tahun.

Jumlah peningkatan tersebut dianggap besar dan serius apatah lagi keganasan rumah tangga lazimnya membabitkan golongan yang lemah, iaitu wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa.

Golongan kanak-kanak lazimnya menjadi mangsa secara tidak langsung atas keganasan yang berlaku di depan mata mereka antara ibu dan ayah.

Misalnya, apabila kedua-dua orang tua mereka bertengkar, secara tidak langsung akan menempiaskan kemarahan kepada anak mereka.

Perlu kita ketahui bahawa, kanak-kanak merupakan individu yang masih tidak mampu berfikir dan hanya mengharapkan persekitaran serta didikan daripada golongan dewasa.

Mereka ibarat kain putih yang masih tidak disentuh dan dicorakkan.

Oleh itu, sudah tiba masa bagi semua pihak memikirkan langkah yang relevan untuk membantu dan memulihkan kanak-kanak akibat keganasan rumah tangga.

Bersesuaian dengan itu, dua badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Persatuan Life Line Malaysia dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah mengambil inisiatif menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) berkaitan keganasan rumah tangga.

Program tersebut turut disokong oleh KMPG Malaysia melalui sumbangan berjumlah RM25,000.

Memorandum persefahaman tersebut bertujuan untuk memperkukuh kerjasama kedua-dua NGO tersebut dalam memulihkan kanak-kanak akibat keganasan rumah tangga melalui terapi permainan.

Presiden WAO, Carol Chin, berkata, terapi permainan merupakan satu terapi yang dapat membantu merawat kanak-kanak mangsa keganasan rumah tangga dalam aspek fizikal dan psikologi.

Ahad, 20 September 2015

Cerai, bukan penamat kehidupan

Pasti ada hikmah di sebaliknya

Bersama NORAZMAN AMAT
Tarikh : 16/09/2015
Sumber : Utusan Malaysia


SEMUA pasangan suami isteri mengharapkan usia perkahwinan mereka
SEMUA pasangan suami isteri mengharapkan usia perkahwinan mereka sampai ke akhir hayat, namun sekiranya perceraian berlaku, pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. - GAMBAR HIASAN
MALAM itu Ramli cukup gelisah. Apa yang dibuatnya serba tak kena. Duduk salah, berdiri salah, baring salah, semuanya jadi serba salah. Sepucuk nota yang ditinggalkan isterinya di atas meja sisi katil, dibaca berkali-kali. Bagaikan tidak mahu mempercayainya. Tapi segala-galanya sudah terlambat.

Ramlah, isteri yang hidup 35 tahun bersamanya meninggalkannya terkontang-kanting. Hidupnya kosong. Paling membuatkan hatinya menjadi hiba apabila dua anak mereka turut serta meninggalkan rumah. Alasan yang ditinggalkan cukup mudah. “Kita dah tak sehaluan!”.
Ternyata simbahan cahaya bulan terang yang menerjah masuk ke kamar tidur Ramli malam itu tidak sedikit pun menampakkan keindahannya. Berkali-kali Ramli memicit telefon bimbitnya dengan harapan agar dapat bercakap dengan Ramlah. Tapi hampa. Yang ada hanya suara supaya meninggalkan pesanan.

Ramlah seolah-olah sudah berpatah arang dengannya. Ramli bingung. Apa yang telah dia lakukan selama ini terhadap Ramlah dan anak-anak sehingga mereka semua meninggalkannya begitu sahaja. Tiada ribut, tiada taufan, tiba-tiba ia berlaku. Kalau nak dikatakan dia telah melakukan kesalahan besar, baru minggu lepas dia meraikan persaraannya bersama Ramlah dan anak-anak.

Bahkan dia juga dengan rasa bangganya telah menyerahkan sebahagian wang faedah persaraan yang diperolehnya kepada Ramlah dan anak-anak. “Biar semua merasa,” kata Ramli tanpa menaruh sebarang syak wasangka. Baginya selama ini Ramlah dan anak-anak sudah cukup banyak berkorban untuknya. Dan inilah masanya untuk dia meluangkan masa sepenuhnya kepada keluarga setelah dihimpit kesibukan bekerja. Bahkan Ramli juga bercadang membawa isteri dan anak-anak menunaikan umrah.

Tetapi segala-galanya berubah sekelip mata. Air mata Ramli akhirnya tumpah. Dia tidak faham kenapa Ramlah melakukannya sedemikian. Kenapa tidak daripada dulu lagi Ramlah meninggalkannya kalau benar Ramlah membencinya? Kenapa sekarang? Paling membingungkan Ramli, apa kesalahannya sehingga dihukum demikian rupa? Dia tidak tahu apa yang Ramlah mahukan. Apakah kerana memperoleh duit yang banyak, Ramlah tergamak meninggalkannya? Apakah tidak cukup apa yang telah diberikan kepada Ramlah selama ini? Memang, Ramli benar-benar bingung dengan tindakan Ramlah.

PANDANGAN KAUNSELOR

Langit tidak selalunya cerah. Ada kalanya mendung malahan sesekali ribut melanda. Demikian juga alam perkahwinan yang tidak lekang dengan masalah suami dan isteri. Hidup berpasangan walaupun memakan puluhan tahun pasti akan diuji dengan pelbagai cubaan dan ujian. Kisah Baiti Jannati minggu ini merupakan sekelumit kisah yang berlaku kepada pasangan yang berumahtangga tetapi tidak sampai ke penghujungnya.

Khamis, 17 September 2015

Niat aniaya isteri, tetapi anak-anak jadi mangsa

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 06/09/2015

“SAYA sering diajukan soalan “mengapa suami tak mahu beri nafkah anak-anak kepada bekas isteri setelah bercerai?’’ Satu soalan yang amat sukar sungguh untuk saya jawab. Biasanya jawapan kurang tepat saya berikan, kerana ia banyak bergantung kepada masalah peribadi si suami itu sendiri. Sama ada dia ikhlas dan bertanggungjawab untuk membesarkan anak-anaknya ataupun mahu membalas dendam kepada bekas isterinya selepas bercerai.

“Menurut pandangan Puan Nuramira ketika kami bertemu pada majlis hari raya baru-baru ini persoalan ini boleh diselesaikan jika setiap lelaki yang telah bercerai itu tahu tanggungjawab mereka. Dan kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab mesti dijatuhkan hukuman oleh pihak berkuasa. Jika hukuman dijalankan kepada suami jenis ini, maka masalah isteri tak dapat nafkah anak-anak selepas bercerai boleh diselesaikan dengan baik.

“Namun tidak dinafikan memang ada suami yang tahu tanggungjawab mereka, tetapi sengaja tidak mahu beri nafkah kerana dalam diri mereka telah tertanam sifat mahu balas dendam terhadap bekas isteri yang telah bertukar jadi musuhnya. Ada juga beri alasan tidak bekerja ataupun telah berkahwin baru dan mereka tak mampu untuk beri nafkah anak.

“Masalah tidak bekerja atau bergaji kecil bukan alasan, tidak mahu beri nafkah, kerana sebenarnya mereka tamak dan sengaja mahu menganiaya bekas isterinya, supaya hidup dalam serba kesusahan. Sebenarnya perbuatan suami seperti ini bukan menganiaya isteri sahaja, bahkan turut menganiaya masa depan anak-anak, terutama jika bekas isteri tinggal di kampung, apa lagi di bandar yang serba mencabar,’’ kata Nuramira.

Isu suami tak beri nafkah ini jadi tajuk perbualan kami ketika penulis bertemu dengan beberapa orang rakan dalam satu majlis sambutan raya baru-baru ini. Isu ini timbul ketika rakan kami Imah beritahu rakan kami Asiah meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selama seminggu.

“Kami terkejut dan kesal kerana tidak diberitahu lebih awal semasa arwah tidak sedarkan diri. Imah minta maaf kerana beliau sendiri lambat diberitahu, kerana sibuk dengan majlis perkahwinan anak saudaranya, selain majlis kenduri saudara ke Mekah. Kerana lewat dapat tahu dia hanya sempat melawat sehari sebelum arwah meninggal dunia. Kerana terlalu terkejut beliau terlupa untuk menyampaikan berita kepada rakan-rakan lain.

“Menurut cerita Imah, Asiah jatuh di ruang tamu di rumahnya, terus tidak sedarkan diri. Sepanjang Asiah di rumah sakit, suaminya tidak menghubungi kami, kerana beliau sendiri tidak tahu siapa rakan-rakan Asiah. Jadi jiran tetangga dan saudara sahaja yang pergi menziarah di hospital. Daripada mulut jiran yang menziarahi inilah Imah dapat tahu, tetapi sudah terlambat. Namun, kami merancang untuk berjumpa dengan suami arwah tanda simpati.

Selasa, 15 September 2015

Saya bagi suami peluang kedua

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 12/09/2015

Setiap isteri mengharapkan suami yang dinikahi akan menjadi pelindung hidup mereka sampai ke akhir hayat, menjalani hidup bersuami isteri dengan rasa kasih sayang dan saling tolak ansur sesama sendiri.

Hidup ini memerlukan pengorbanan tidak kira dalam keluarga atau sesama saudara, yang penting mesti disertakan dengan rasa hormat agar bahagia yang dicari mudah diperoleh.

Begitu juga lumrah dalam rumah tangga. Sentiasa ada masalah dan ada serasinya asalkan antara suami isteri mempunyai sikap setia dan mempercayai antara satu sama lain.

Bagaimana jika kesetiaan telah tergugat, mahukah salah seorang mengalah dan memaafkan!

Inilah topik pilihan minggu ini yang dikirim oleh Salwa (bukan nama sebenar), isteri seorang ahli korporat yang telah berjaya memerangkap suaminya bermain kayu tiga dan ada perempuan lain.

Begini cerita Salwa:

“Saya berusia awal 40-an, mempunyai tiga orang anak remaja berusia 13 hingga 17 tahun, seorang lelaki dan dua perempuan. Saya pernah bekerja dan berhenti setelah mendapat anak kedua kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada anak-anak dan rumah tangga.

“Alhamdulillah, suami juga berjaya dalam pekerjaannya dan memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat korporat.
Disebabkan tugasan di rumah yang memerlukan saya lebih banyak bersama anak-anak terutama untuk memantau pelajaran dan aktiviti mereka, saya jarang mengikut suami ke majlis-majlis rasmi.

“Suami juga tidak menggalakkan saya ikut bersama memandangkan anak-anak akan ditinggalkan tanpa sesiapa di rumah dan bimbang keselamatan mereka terutama majlis pada malam hari.

“Sepanjang tempoh itu, saya tidak nampak perubahan pada suami. Layanan dan perbelanjaan tidak pernah luak. Malah semakin hari semakin sayang kepada kami anak beranak. Kami kerap dibawa bercuti ke luar negara dan membeli- belah.

“Pada mulanya, saya tidak syak apa-apa sehingga satu hari saya terjumpa resit hotel dan tiket kapal terbang di dalam kereta suami. Saya terkejut bila melihat resit itu dikeluarkan di Pulau Pinang.

“Memang saya tahu suami ada ke Pulau Pinang untuk menghadiri konvesyen tetapi katanya atas tugasan bukan untuk bercuti. Itupun dengan rakan-rakan pejabat. Dengan terjumpanya resit dan keratan tiket penerbangan itu, saya mula berhati-hati.

“Satu hari, dia memberitahu saya hendak ke Melaka untuk mesyuarat dengan klien dari Jepun yang mendapat satu projek di sana. Katanya kalau sempat dia balik, jika tidak dia akan bermalam di sana.

Isnin, 14 September 2015

Janji manis mentua ambil terus anak-anak saya


1

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 13/09/2015

DALAM melalui alam rumah tangga, saya yakin dan percaya bahawa nasib kaum wanita tidaklah sebaik yang mereka harap dan mimpikan iaitu aman bahagia hingga ke akhir hayat. Kerana terlalu banyak godaan dan gangguan yang datang dan pergi dalam kehidupan kita. Saya juga mengaku nasib saya tidak sebaik dua orang kakak saya yang bahagia dan aman berbanding saya yang sentiasa ada ketakutan dan rasa rendah diri.

“Memang pada awalnya saya tidak mahu bercerita masalah rumah tangga saya ini, tetapi saya tidak boleh menolaknya, kerana setiap hari hati dan perasaan saya sentiasa dihiris pilu oleh perbuatan bekas mentua saya yang suka mengganggu rumah tangga saya, walau bermuka manis, tetapi penuh racun berbisa. Bukan tuduh, tetapi itulah yang saya dapat lihat dengan jelas sekarang.’’ Demikian cerita Izzah Ezzany dalam e-melnya.

“Walaupun saya sudah lima tahun jadi ibu tunggal dan umur pun sudah lewat 30-an, tetapi saya rasa umpama wanita yang paling rugi dan malang. Tidak keterlaluan jika saya katakan perkahwinan saya idam-idamkan tidak membawa kebahagian.

“Sebenarnya saya langsung tidak menyangka mulut manis keluarga mentua saya hanyalah pura-pura, sedangkan dalam hati mereka tersimpan dendam kesumat dan bencikan saya sejak mula saya berkahwin dahulu. Puncanya kerana hasrat mereka untuk mengambil saudara mereka jadi menantu tidak kesampaian, kini saya jadi mangsa.

“Memang awalnya perkahwinan saya dengan Ezam tidak disukai mentua, kerana mereka ada calon lebih sesuai, tetapi disebabkan kuatnya desakan Ezam yang ketika itu amat cintakan saya, dan saya juga sayangkannya maka ibunya mengalah dan terpaksa terima saya.

“Ketika itu saya memang tidak sedar bahawa kelembutan mereka terima saya sebagai menantu hanya sementara dan mereka menunggu masa sahaja untuk singkirkan saya. Perkahwin saya dengan Ezam cuma bertahan selama tujuh tahun sahaja. Puncanya, saya minta diceraikan setelah merasakan diri tidak berguna selain mentua saya mahu Ezam kahwin lagi.

“Kami sama-sama lulusan kolej, dan sama jurusan, tetapi agaknya saya bernasib baik, syarikat yang ambil saya bekerja lebih kukuh dan lebih besar daripada tempat Ezam bekerja. Jadi secara tidak langsung pendapatan saya cuma lebih sedikit daripada Ezam dan saya mendapat bonos lebih daripadanya, selain berpeluang naik pangkat.

“Alasan ibu Ezam tak mahu terima saya kerana dua sebab, pertama kerana nak rapatkan hubungan keluarga jika Ezam kahwin saudara, kedua takut sedikit sebanyak hartanya tertumpah kepada orang luar, jika kahwin dengan saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman