BACHOK - Seorang lelaki berusia 57 tahun bingung apabila mendakwa menjadi mangsa ‘permainan cinta’ seorang wanita muda yang dikahwininya di Selatan Thailand, dua tahun lalu.

Hasrat untuk mengecap bahagia bersama isteri keduanya itu musnah selepas dia mendapat tahu wanita itu masih belum bercerai dengan suami pertamanya.

Bapa kepada tiga anak itu mendakwa mengahwini isteri keduanya yang berusia 27 tahun ketika itu di Majlis Agama Islam Narathiwat, apabila wanita itu mendakwa dia masih anak dara.

Dia bertemu wanita itu yang bekerja di Bernas, Jitra, Kedah dan mengambil keputusan untuk mengahwininya di Selatan Thailand pada 12 September 2013, memandangkan wanita itu menggesanya berbuat demikian dan enggan bernikah di Malaysia.

“Kalau boleh memang kami nak kahwin di sini, tetapi dia menggesa saya untuk kahwin cepat di Selatan Thailand. Bila saya nak daftar kahwin di sini, dia banyak berdolak dalik sehingga saya tahu dia pernah berkahwin sebelum ini dan masih belum bercerai secara sah dengan suami pertamanya.

“Kami hanya sempat bersama seminggu sebelum rahsia statusnya yang belum bercerai secara sah dengan suaminya sebelum ini, terbongkar.

“Saya suruh dia fasak dengan suami pertamanya dahulu, sebab saya rasa pernikahan kami di Siam tak sah kerana dia bohong tentang statusnya,” katanya.