Rabu, 16 April 2014

'Selesai kes babit orang Islam, bukan Islam di mahkamah sivil'

Seorang pakar undang-undang mencadangkan supaya kes-kes pertikaian antara orang Islam dan bukan Islam diadili di Mahkamah Sivil bagi memudahkan kes mereka didengar di satu tempat yang sama.

Timbalan Dekan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Najibah Mohd Zin berkata langkah itu boleh menjadi penyelesaian kepada permasalahan orang bukan Islam, yang pada masa ini tidak dapat menuntut keadilan di Mahkamah Syariah bila pasangan mereka memeluk agama Islam.

Pada masa sama, ia juga dapat mengelakkan dua sistem keadilan mengeluarkan perintah berbeza bila satu kes yang sama diadili di Mahkamah Syariah dan di Mahkamah Sivil.

"Bagi saya kes-kes ini tidak salah untuk dibawa ke Mahkamah Sivil kerana di situ ada ada orang Islam dan bukan Islam (peguam dan hakim) yang boleh mendengar kes berkenaan," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas isu pemberian hak penjagaan anak oleh Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil masing-masing kepada bapa dan ibu, yang berpisah disebabkan perbezaan agama.

Najibah, yang pakar dalam pengkhususan Undang-undang Keluarga, juga bersetuju dengan cadangan untuk mengharmonisasikan undang-undang sivil dan syariah sebagaimana yang pernah disuarakan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad hampir 20 tahun lepas, bagi menyelesaikan konflik antara kedua-dua mahkamah itu.

"Satu forum (mahkamah) atau tribunal juga boleh diwujudkan untuk berkongsi masalah yang sama, namun ia harus berdasarkan prinsip yang betul agar ia dapat mendamaikan kedua-dua pihak," kata Najibah.

Cadangan itu katanya agar sukar direalisasikan namun ia menawarkan penyelesaian lebih baik dan adil kepada semua pihak dan bukannya bertujuan untuk bersaing antara Islam dan bukan Islam.

"Isu agama memang sensitif, semua hati nak dijaga, tetapi jika semua lebih berlapang dada, dakwah itu lebih meluas dan orang bukan Islam juga dapat melihat bahawa Islam sebenarnya turut meraikan hak bukan Islam," tambah Najibah.

Beliau turut menasihati ibu bapa yang berlainan agama supaya sentiasa meletakkan kepentingan kebajikan anak-anak mereka mengatasi perkara lain dalam pertikaian kes di mahkamah bagi memastikan anak-anak mereka dapat membesar dalam suasana bebas konflik.

Katanya prinsip anak akan diutamakan secara asasnya dalam undang-undang, bukannya isu agama, sama ada di Mahkamah Sivil mahupun di Mahkamah Syariah.

"Walaupun wujud pandangan berbeza oleh sesetengah ulama kerana berkait rapat dengan penjagaan, maka mahkamah perlu melihat kepada fakta kes sebelum membuat keputusan secara keseluruhan bagi menentukan siapa yang layak diberi hak penjagaan," katanya.

- Bernama

Kadar cerai di S'gor tinggi setiap tahun - Exco

Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Selangor berada pada tahap tinggi setiap tahun sejak 2008, demikian diberitahu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata terdapat 4,069 kes pada 2008, meningkat kepada 4,614 (2009), 5,352 kes (2010), 6,035 kes (2011), 6,098 kes (2012) dan pada 2013 merekodkan 6,028 kes.

Beliau berkata bagi pecahan kadar perceraian mengikut daerah, Gombak merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,160 kes diikuti Klang (1,048 kes), Petaling (997 kes) dan Shah Alam (807 kes).

"Kadar perceraian yang tinggi ini memerlukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengkaji semula punca sebenar berlakunya perceraian. Bagaimanapun berdasarkan maklumat, antara punca (kadar perceraian tinggi) ialah ada pasangan berkahwin di luar Selangor tetapi bercerai di negeri ini," katanya.

Halimah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) yang ingin tahu jumlah perceraian mengikut tahun sejak 2008, pecahan kadar perceraian mengikut daerah serta langkah kerajaan negeri mengurangkan kadar perceraian di negeri itu.

Halimah turut menyenaraikan usaha untuk menangani kadar perceraian yang tinggi, termasuklah menilai semula modul kursus perkahwinan, memberi kaunseling kepada pasangan bermasalah serta membentuk jawatankuasa pendamaian.

- Bernama

Selasa, 15 April 2014

Pendekatan rujuk berbeza

An-Nur: Bersama Zaharuddin Abd Rahman
Sumber :
Tarikh : xx/xx/2008

APABILA membicarakan soal rujuk, khabarnya Malaysia (mungkin ijtihad Malaysia) mengambil pendekatan yang sedikit berbeza apabila mereka mengambil fatwa yang berbeza dengan ijmak yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah iaitu rujuk adalah dengan cara seorang lelaki melafazkannya.

Ini berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin merujuk.

Pertamanya: Suami hendaklah melafazkan niat untuk merujuk bekas isterinya.

Kedua: Bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas rujuk itu.

Selepas itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan rujuk.

Kemudian, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Selepas proses rujuk itu lengkap, barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.

Namun selepas disemak, sebenarnya Mahkamah Syariah mengiktiraf rujuk tanpa reda isteri, cuma sekiranya isteri enggan balik dengan suami (walaupun selepas ada lafaz rujuk dari suami, mahkamah tidak boleh memaksa isteri untuk tinggal sekali bersama suami semula (atas permohonan suami di mahkamah).

Sebagai jalan penyelesaian, Mahkamah Syariah akan melantik jawatankuasa pendamai (wakil kedua pihak dilantik untuk mencari penyelesaian).

Justeru, Mahkamah Syariah akan campur tangan jika ada keadaan yang berkaitan dengan keengganan untuk hidup bersama semula selepas berlaku rujuk dengan izin isteri atau tidak.

Namun begitu, keengganan isteri mestilah dibuat atas sebab yang munasabah dan diiktiraf syariah.

Oleh kerana itu, pihak berkuasa di Malaysia membuat keputusan dan ijtihad apabila meletakkan keperluan reda isteri bagi mengelakkan masalah makin rumit. Ia mungkin mengambil anjuran mazhab Syafie yang menggalakkan saja tetapi tidak mewajibkan: -

“Pandangan mazhab baru Syafie, tidak disyaratkan wujud saksi untuk sahnya rujuk, kemudian, (rujuk) juga tidak memerlukan kepada (persetujuan) wali dan juga persetujuan wanita (isteri), cuma ia digalakkan saja.” ( Nihayatul Muhtaj, 1/59).

Bolehkah rujuk tanpa lafaz?

Tidak terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang oleh suami di depan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis.

Namun ada yang bertanya kepada saya sama ada ada cara lain. Bagaimana jika berlakunya persetubuhan dalam masa idah sebelum lafaz?

Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut:-

Hanafi: Sah rujuk sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti Sa’ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato’ Abi Rabah, Al-Awzai’e, Sufyan At-Thawry, As-Sya’biy dan lain-lain.

Maliki: Sah rujuk dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat rujuk semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain dengan syahwat saja tidak cukup untuk dianggap rujuk.

Syafie: Mazhab Syafie menolak rujuk melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan Hanafi tadi.

Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu idah tanpa lafaz rujuk yang jelas terlebih dulu adalah haram.

Imam As-Syafie berkata: Ertinya, “Rujuk mestilah dengan percakapan (lafaz) dan bukannya dengan jimak dan lainnya, kerana tiada rujuk tanpa lafaz, maka tidak sah rujuk bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talak yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (rujuk) semasa idah barulah sah rujuknya.” (Al-Umm)

Hanbali: Sah rujuk dengan persetubuhan namun tidak sah rujuk hanya dengan permulaan persetubuhan. Sama ada ia dilakukan dengan niat rujuk atau tidak.

Kesimpulan: Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang telah saya dedahkan di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan rujuk terlebih dulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.

Aurat isteri depan suami semasa idah

Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa idah dalam perceraian raj’ie (normal boleh rujuk) kali pertama dan kedua.

Si suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah suami masih wajib berikan belanja zahir kepada isteri di waktu idah. (Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154)

Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya? Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.

Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh idah, kerana mereka masih dikira isteri dan akan automatik rujuk dengan persetubuhan.

Rujuk dalam kes tebus talak

Ada pun tebus talak ataupun khuluk, perceraian yang dilakukan atas dasar ini tidak mempunyai peruntukan rujuk, sama ada ia dianggap sebagai fasakh atau talak (berdasarkan perbezaan ijtihad ulama).

Namun, majoriti ulama silam dan kontemporari menyebutkan tiada rujuk bagi kes tebus talak. Malah, Imam As-Syawkani menyebut terdapat ijmak (persepakatan penuh) seluruh ulama bahawa tidak rujuk bagi kes tebus talak.

Ini adalah kerana talak itu jatuh dalam kategori talak Bain dan bukan talak Raj’ie (yang boleh dirujuk). (Nailul Awtar ; Mawsu'ah Al-Kuwaitiyah)

Cuma bezanya kali ini, wanita ada hak untuk terima jika si bekas suami tadi ingin rujuk juga dalam kes tebus talak. Ertinya, peruntukan asalnya suami tidak boleh rujuk seperti kes talak biasa, namun dalam kes tebus talak, lelaki hilang haknya untuk rujuk tanpa reda isteri. (Kasyyaf Al-Qina', Al-Bahuti)

Perlukah rujuk kepada saksi?

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, Imam Syafie dalam satu fatwanya menyatakan penyaksian dalam bab rujuk adalah wajib. Berdasarkan dalil firman Allah SWT bermaksud: “Apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujuklah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik”. (At-Talaq: 2)

Namun, pendapat Abu Bakar ra, Imam Malik dan Abu Hanifah, saksi tidak wajib kerana ia langsung tidak memerlukan persetujuan dari pihak lain. Justeru, saksi hanyalah digalakkan saja namun ia tidaklah wajib.

Tertib cerai isteri

An-Nur: Bersama Zaharuddin Abd Rahman
Sumber :
Tarikh : xx/xx/2008

Perceraian jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri yang bermasalah sama ada ketidakserasian atau masalah lain berkait dengan kezaliman, tidak tunai tanggung jawab.

Beberapa pendapat ulama menyatakan talak amat dibenci sehingga sampai tahap dilarang dan hanya diharuskan apabila cukup syarat atas nama ‘keringanan’ atau ‘rukhsah’.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak (perceraian suami isteri)" (Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn 'Adiyy : Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih)

Namun, pendapat ini tidak kuat kerana Nabi sendiri pernah menjatuhkan talak ke atas Hafsah Binti Umar Al-Khattab dan kemudian rujuk kembali. Kesimpulannya ia hanya makruh. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nailul Awtar, 6/247)

Ini bertepatan dengan sabda Rasullullah: “Saya tidak suka kepada laki-laki yang suka kahwin cerai dan perempuan yang suka kahwin cerai.” (Riwayat Thabarani dan Daraquthni)

Namun demikian, talak yang hendak dijatuhkan mestilah mengikut tatacara dan disiplin yang ditentukan Islam seperti berikut:

1. Jangan dicerai ketika isteri haid dan nifas.

Haram dan berdosa hukumnya suami menjatuhkan talak jika isterinya dalam keadaan haid, nifas dan selepas disetubuhi waktu suci isteri kecuali sudah jelas wanita itu mengandung.

Bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, pastikan bukan dalam tiga situasi itu. Ini tanda fitrahnya (bertepatan naluri manusia normal) kerana dalam keadaan haid, termasuk juga nifas, seorang suami wajib menjauhi isterinya.

Barangkali kerana terhalangnya dan ketidakmampuan mengawal nafsunya itu yang mendorongnya menjatuhkan talak.

Ia juga mungkin terdorong oleh perilaku isteri sewaktu haid. Diketahui umum, mental dan naluri isteri tidak stabil pada waktu haid dan nifas.

Syeikh Al-Qaradawi berkata : “Sebagaimana diharamkannya mencerai isteri di waktu haid, begitu juga diharamkan menceraikannya sewaktu suci sesudah bersetubuh. Sebabnya, siapa tahu barangkali si perempuan itu memperoleh benih daripada suaminya pada kali itu.

“Dan barangkali juga kalau si suami selepas mengetahui isterinya hamil kemudian dia akan mengubah niatnya, dan dia dapat hidup senang bersama isteri kerana ada janin yang dikandungnya.” (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

Dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dikisahkan, Abdullah bin Umar Ibnul-Khattab pernah mencerai isterinya waktu haid. Kejadian ini sewaktu Rasulullah SAW masih hidup. Bertanyalah Umar kepada Rasulullah SAW, maka jawab Nabi:

Ertinya : “Suruhlah dia (Abdullah bin Umar) rujuk kembali, kemudian jika dia mahu, cerailah isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya.

Itulah yang disebut mencerai pada idah, sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam firmanNya: “Hai Nabi! Apabila kamu hendak mencerai isterimu, maka cerailah dia pada idahnya. Yakni menghadapi idah, iaitu di dalam keadaan suci.”

Dalam satu riwayat disebutkan: “Perintahlah dia (Abdullah bin Umar) supaya kembali, kemudian cerailah dia dalam keadaan suci atau mengandung.” (Riwayat Bukhari)

Jika dijatuhkan talak ketika haid, adakah sah?

Menurut pendapat majoriti mazhab Islam, talak itu tetap sah, tetapi si pelakunya berdosa. Ia berdalilkan satu hadis mengenai Abdullah Ibn Umar tadi. Apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, Rasullullah mengarahkannya agar segera rujuk kembali.

Ini bererti talaknya jatuh cuma berdosa. (Al-Mughni, 7/99; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, halaman 225)

Sementara kumpulan minoriti ulama berpendapat talak tidak jatuh dan tidak sah, sebab talak itu sama sekali tidak menurut aturan syarak dan tidak dibenarkan. Oleh itu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku dan sah? Namun, pendapat yang lebih kuat adalah sah dan jatuh talaknya.

2. Perempuan yang dicerai tetap tinggal di rumah suami selama dalam idah.

Perempuan yang dicerai wajib tetap tinggal di rumah suaminya selama dalam idah. Dia diharamkan keluar rumah, dan suami diharamkan mengeluarkan bekas isterinya itu dari rumah tanpa suatu alasan yang dapat dibenarkan.

Hal ini disebabkan suami, selama dalam idah, masih diperkenankan merujuk dan mengembalikan isteri kepada perlindungan perkahwinan untuk sekali lagi apabila talak ini baru satu atau dua kali.

Seorang isteri yang masih tinggal bersama di dalam rumah suami mampu membuka ruang untuk membangkitkan perasaan suami dan mengingat-ingat serta berfikir sebelum habis edah itu.

Sebelum berakhirnya bulan-bulan idah perempuan diperintahkan supaya menunggu supaya yakin akan bersihnya rahimnya dari benih suami serta melindungi hak suami dan kehormatan isteri.

Sebab hati selalu berubah, fikiran selalu baru, seorang yang sedang marah kadangkala menjadi rela, orang yang naik pitam kadangkala menjadi dingin dan orang yang benci kadangkala menjadi cinta.

Sehubungan dengan persoalan perempuan yang dicerai ini, Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan takutlah kamu kepada Allah, Tuhanmu. Jangan kamu usir mereka itu dari rumah mereka dan jangan sampai mereka itu keluar rumah, kecuali apabila mereka berbuat kejahatan yang terang-terangan; dan yang demikian itu batas-batas ketentuan Allah.

“Dan barang siapa melanggar batas-batas ketentuan Allah, maka sungguh dia sudah berbuat zalim pada dirinya sendiri; kamu tidak tahu barang kali Allah akan mengadakan hal baru sesudah itu.”(at-Thalaq: 1)

3. Talak mesti dijatuhkan mengikut aturan kiraan.

Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talak untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talak dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya.

Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis edah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalam edah, maka dia boleh merujuknya.

Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis edah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan akad dan mahar (maskawin) baru. Jika dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.

Jika si suami kembali kepada isterinya sesudah talak satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talak yang kedua, si lelaki masih boleh rujuk semula dalam tempoh idah.

Dan, kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini suatu bukti nyata, bahawa perceraian antara kedua-duanya harus dikukuhkan, sebab penyesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.

Oleh itu, dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si lelaki itu, sampai dia kahwin dengan orang lain secara syarie. Bukan sekadar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam).

Lelaki 4 isteri didakwa pukul bini ketiga


KOTA BHARU – Seorang lelaki beristeri empat dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memukul isteri ketiganya di rumah tertuduh di Kampung Derdap Limbat, Kubang Kerian di sini, Rabu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Adnan Abdullah, 50, mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, Adnan didakwa memukul dengan tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Norma Ismail, 41, di sebuah rumah di Kampung Derdap Limbat, Kubang Kerian, di sini pada pukul 9 pagi, 9 April lalu.

Peniaga itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Firdaus Mohd. Yusoff.

Noor Dayana menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 namun Firdaus memohon jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan.

“Tertuduh mempunyai empat orang isteri dan mangsa ialah isteri ketiga. Saya percaya anak guam saya seorang yang baik, ini adalah kes pertama dia dihadapkan ke mahkamah,” kata Firdaus.

Nik Habri membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM1,000 selain menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan kes.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2yvyc9CJg
Hakcipta terpelihara

Kes cerai teman lelaki Hanez Suraya diselesai cara baik


KLANG 14 April - Tuntutan cerai fasakh suri rumah Nurliyana Manan terhadap suaminya, Romie Razin Adilha Abd. Jais yang juga teman lelaki pelakon Hanez Suraya mungkin akan ditarik balik jika penyelesaian secara baik berjaya dicapai oleh kedua-dua pihak.

Peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Nurliyana, 29, memaklumkan Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, jika persetujuan berjaya dicapai, pihaknya akan mengemukakan permohonan baharu iaitu perceraian secara talak mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Menurut beliau, Romie Razin, 34, selaku defendan melalui peguam syarie, Rubiah Jaafar memaklumkannya hari ini untuk menyelesaikan kes tersebut secara rundingan namun Rubiah memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan Romie Razin.

“Kami sebagai pihak plaintif menyambut baik hasrat Romie untuk menyelesaikan kes ini secara baik, seterusnya jika ia berjalan lancar kami akan mengemukakan permohonan baharu," kata Kamar Ainiah.

Ketika ditanya Hakim Syarie, Zainal Abidin Kusmin sama ada rundingan itu akan tetap berakhir dengan perceraian bukannya perdamaian, Kamar Ainiah memberitahu, agak sukar mencapai perdamaian kerana banyak isu yang berbangkit antara kedua-dua pihak.

Rubiah kemudian mencelah dan memaklumkan mahkamah, perbincangan untuk berdamai antara kedua-dua pihak telah diadakan sebelum ini namun gagal kerana isu berbangkit itu.

Sehubungan itu, Zainal Abidin membenarkan kedua-dua pihak mengadakan rundingan bagi penyelesaian secara baik itu agar isu mengenai hak masing-masing selepas bercerai selesai secara harmoni.

Beliau memberi tempoh sehingga 16 Jun ini untuk kedua-dua pihak mencapai kata sepakat namun jika gagal, perbicaraan akan diteruskan.

Nurliyana memfailkan permohonan cerai secara fasakh terhadap Romie pada 1 Oktober tahun lalu mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Nurliyana hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarganya namun Romie Razin tidak hadir kerana tidak sihat.

Sementara itu Nurliyana yang ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu tidak mungkin sama sekali dia dan suaminya akan berdamai.

Sepanjang perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140415/ma_02/Kes-cerai-teman-lelaki-Hanez-Suraya-diselesai-cara-baik#ixzz2yvyoFhEz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 14 April 2014

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah diperintah bela diri


Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 10/04/2014


PULAU PINANG 9 April - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memerintahkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran bersama pasangannya, penasihat kewangan, Nurul Izani Md. Isa membela diri atas dakwaan khalwat.

Ketetapan itu dibuat Hakim Syarie, Zaim Mat Yudin selepas berpuas hati dan mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di dalam kes berkenaan.

Selain itu, Zaim juga menetapkan 14 hingga 16 Mei ini sebagai tarikh bagi kedua-­dua tertuduh memasukkan pembelaan mereka.

Pendakwaan diketuai oleh Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz manakala pasangan berkenaan diwakili Ahmad Munawir Abdul Aziz dan Wan Faridulhadi Md. Yusof.

Sebelum ini, pasangan berkenaan dibebaskan Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas Hakim Syarie, Othman Ibrahim menetapkan mahkamah berpuas hati dengan kesahihan kertas perkahwinan pasangan tersebut.

Pihak pendakwaan pula kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah berhubung kes berkenaan.

Mengikut pertuduh, Adam dan Nurul Izani yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 2.05 pagi, 5 Disember 2010, di No. 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam, 47, didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nurul Izani, 37, didakwa di bawah Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga sebelum ini dibenar diikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140410/ma_04/Bekas-Hakim-Mahkamah-Tinggi-Syariah-diperintah-bela-diri#ixzz2yvy133eG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 12 April 2014

Keperluan memberi nafkah

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 11/04/2014


BEBERAPA minggu yang lepas, kita membincangkan mengenai kewajipan suami dan isteri dalam perkahwinan. Minggu ini kita akan memfokuskan kepada satu tajuk yang sangat penting dalam kewajipan berumah tangga.

Ia berkenaan memberi nafkah keluarga demi menjaga kelangsungan kehidupan dan juga mengelakkan daripada berlakunya darar iaitu kemudaratan disebabkan kesempitan hidup.

Oleh sebab itu, tanggungjawab memberi nafkah diletakkan di atas bahu ketua keluarga iaitu suami atau bapa sebagai tanggungjawab asasi.

Al-Quran telah meletakkan secara jelas tanggungjawab ini ke atas suami atau bapa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

"Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada).

"Kemudian jika kedua-duanya iaitu suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan yang telah dicapai oleh mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa jua yang kamu lakukan."

Walaupun ayat di atas lebih menjurus tentang hubungan kekeluargaan selepas berlaku perceraian, apa yang menarik untuk dijadikan pengajaran ialah sikap tanggungjawab melengkapi keperluan anak, ibu dan juga kebajikan bapa tersebut adalah sangat dituntut walaupun telah berpisah.

Ibu juga berperanan untuk memastikan anak tersebut berterusan mendapat penyusuan daripadanya demi kelangsungan hidupnya dan tidak menyusahkan bapa untuk mengupah orang lain atau memaksanya mengeluarkan belanja di luar kemampuannya.

Nafkah anak

Begitu juga pihak bapa tidak boleh menyusahkan si ibu yang telah menyusukan anaknya atau melarang melihat anaknya selepas penyusuan.

Walaupun begitu, tanggungjawabnya memberi nafkah anak adalah berterusan sehingga anak tersebut mencapai umur tertentu dan boleh berdikari mencari rezekinya sendiri.

Bagi anak perempuan, tanggungjawab nafkah berterusan sehingga anak tersebut berkahwin. Jika bapa telah tiada tanggungjawab ini hendaklah dipikul oleh waris untuk memastikan kebajikan anak tersebut terpelihara sehingga mencapai umur tertentu.

Masih terdapat dalam kalangan masyarakat umum yang tidak memahami tentang makna nafkah. Nafkah merujuk kepada keperluan asas iaitu makan minum, pakaian, tempat tinggal dan juga khidmat pembantu rumah jika ada keperluan dan berkemampuan.

Namun, keperluan tersebut hendaklah juga melihat kepada status sosial isteri dalam masyarakat. Ini bermakna keperluan tersebut hendaklah sempurna.

Sebagai contoh, keperluan kepada tempat tinggal hendaklah bersesuaian dengan status isteri dari segi keperluan yang ada dalam rumah tersebut seperti peralatan rumah dan apa-apa jua keperluan lain yang bersangkutan dengan keadaan dalam rumah tersebut seperti akses kepada bilik air dan juga mempunyai tempat untuk privasi.

Ini untuk mengelakkan sikap sambil lewa dan sikap acuh tidak acuh dalam memenuhi keperluan pasangan dalam perkahwinan.

Oleh kerana tanggungjawab nafkah ini adalah sangat penting dan asasi, tuntutan nafkah boleh dibuat walaupun tanpa kebenaran suami melalui perintah mahkamah.

Di dalam riwayat daripada Saidatina Aisyah r.a bahawa Hindun bt. Utbah telah berjumpa dengan Rasululullah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suaminya) adalah seorang yang kedekut. Dia tidak memberi belanja yang cukup untuk saya dan anak-anak kami kecuali jika saya ambil dengan tidak diketahuinya."

Rasulullah SAW menjawab: "Ambillah sekadar yang cukup untuk keperluan kamu dan anak-anak kamu dengan cara yang baik."

Tuntutan nafkah

Undang-undang keluarga Islam negeri-negeri mempunyai peruntukan yang jelas terhadap tuntutan nafkah isteri. Seorang wanita yang telah berkahwin boleh memohon di mahkamah syariah dari semasa ke semasa untuk mendapatkan nafkah mengikut hak yang diperuntukkan dalam undang-undang Islam.

Diperuntukkan juga bahawa isteri tidak berhak mendapat nafkah jika ia tidak taat kepada suami dan suami boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapat perintah nusyuz. Kemudian, suami tidak lagi perlu untuk membayar nafkah kepada isteri selepas mendapat perintah mahkamah.

Perintah pembayaran nafkah yang dibuat oleh mahkamah syariah boleh dikuatkuasakan dengan membuat attachment of earnings orders iaitu mendapatkan perintah yang diserahkan kepada majikan untuk membuat pemotongan gaji suami.

Jika suami tidak berupaya membayar nafkah disebabkan kecacatan fizikal dan tidak mempunyai harta, isteri bolehlah memohon perintah tersebut dipindahkan kepada keluarga lelaki sebelah suami iaitu waris lelaki yang berhak mendapat harta pusaka.


Ahad, 6 April 2014

Kahwin, cerai gaya hidup masa kini

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 14/01/2006

Bilangan kes perceraian melibatkan pasangan Islam di negara ini berada pada tahap 10 hingga 15 peratus. Peratusan tersebut dianggap tinggi, biarpun masih terkawal. Pun begitu, timbul persoalan, adakah kahwin, dan cerai sudah menjadi gaya hidup masa kini?

Islam amat menggalakkan perkahwinan yang menyempurnakan keperluan tabii manusia yang memerlukan pasangan hidup. Manakala perceraian pula satu perkara halal yang paling dibenci. Perceraian berpunca kegagalan suami isteri melayari kehidupan berumah tangga seperti mana diharapkan.

Suatu masa dahulu, pasangan yang bercerai menanggung perasaan malu. Perasaan itu turut ditanggung ahli keluarga yang lain. Hal ini disebabkan satu tanggapan bahawa pasangan yang bercerai berpunca sesuatu sikap yang tidak baik seperti suami atau isteri curang, mengamalkan sikap tidak baik, masalah tenaga batin dan sebagainya.

Malah, perceraian dianggap sesuatu yang `salah' dalam masyarakat. Sebab itu, pasangan suami isteri akan cuba sedaya mungkin mengelak daripada berlaku perceraian. Masalah dalam rumah tangga cuba diselesaikan secara bertolak ansur dan bijaksana. Keluarga akan campur tangan mendamaikan pasangan bermasalah agar tidak berakhir dengan perceraian.

Status duda dan janda bukan suatu yang baik pada pandangan masyarakat. Pandangan ini berdasarkan bahawa perceraian berpunca sesuatu yang tidak baik mengenai duda atau janda itu.

Keluarga yang prihatin tidak mudah menerima bakal ahli keluarga baru daripada kalangan duda atau janda. Mereka akan menyelidik apakah punca perceraian yang lalu. Adakah perceraian lalu berpunca daripada sikap bakal menantunya itu? Ini bagi mengelak perkara yang sama berlaku dalam perkahwinan baru kelak.

Dengan perkataan lain, duda atau janda dipandang rendah bukan kerana status, tetapi sebab di sebalik mengapa status itu diperoleh. Suami tidak mungkin menceraikan isteri yang baik. Atau, suami yang baik tidak mungkin menceraikan isteri tanpa alasan yang munasabah.

Atas alasan itulah mengapa duda, lebih-lebih lagi janda sentiasa dipandang serong. Keluarga akan cuba menghalang anak teruna mengahwini janda. Pengalaman buruk janda itu tidak mahu berulang pula kepada anak teruna yang belum pernah mengalami pengalaman hidup berumah tangga.

Manakala duda pula akan disiasat lebih teliti terlebih dahulu sebelum dibenarkan berkahwin dengan anak dara. Manalah tahu punca perceraian dahulu disebabkan sikap tidak baik duda itu. Sikap itu mungkin akan berulang bila berkahwin baru dan isterinya bakal menanggung nasib yang sama.

Senario itu berlaku pada suatu masa dahulu. Tetapi, nampaknya kes kahwin dan cerai seperti sudah seperti satu budaya dalam masyarakat kini. Pasangan yang bercerai tidak lagi menanggung perasaan malu.

Sikap ego pasangan dikenal pasti mengapa mudah berlaku perceraian dalam masyarakat sekarang. Jika ada masalah dalam rumah tangga, masing-masing tidak `takut' untuk bercerai.

Si suami merasakan dia tidak menghadapi masalah untuk mencari pasangan baru. Mereka boleh mendapatkan isteri baru di kalangan anak dara yang lebih baik. Begitu juga dengan si isteri yang mengambil pendekatan tidak kisah jika selepas itu dia tidak bertemu jodoh lagi.
Berubah

Bahkan ramai berpegang kepada prinsip perceraian bukan penamat kehidupan. Malah ada yang lebih optimis mengatakan perceraian adalah permulaan untuk berubah mencapai yang lebih baik. Memang pemikiran itu amat liberal dan keterlaluan bagi budaya masyarakat kita.

Sekarang ini ramai wanita yang mempunyai kerjaya yang baik. Mereka tidak lagi bergantung kepada lelaki untuk menyara hidup selepas perceraian. Bahkan, banyak hak penjagaan anak diberikan kepada si isteri yang mampu menyara sepenuhnya perbelanjaan, kalaupun tanpa bantuan daripada bekas suami.

Golongan yang memperjuangkan kepentingan wanita pula seakan-akan berjuang mempermudahkan soal perceraian. Kalau boleh, setiap permohonan cerai yang dikemukakan oleh si isteri perlu diluluskan segera.

Banyak forum dan seminar yang membincangkan mengenai keadilan bagi si isteri merumuskan agar proses permohonan cerai dipermudahkan. Mahkamah Syariah dikatakan gagal melaksanakan tugas jika melambat-lambatkan proses perceraian. Mereka bukannya berjuang untuk mempertahankan isteri daripada dijatuhkan talak.

Mereka seolah-olah bangga berstatus ibu tunggal. Sekarang masyarakat jarang menggunakan perkataan janda bagi wanita yang bercerai hidup atau balu bagi bercerai mati. Lainlah jika mereka bercerai tanpa mempunyai anak.

Biasanya masyarakat mudah simpati dengan gelaran ibu tunggal. Terdapat Persatuan Ibu Tunggal peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Aktiviti persatuan mendapat sokongan masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan sendiri. Ada ruangan khas dalam majalah atau akhbar yang memfokuskan mengenai ibu tunggal yang berjaya.

Memang benar ramai ibu tunggal berjaya meneruskan hidup dengan sempurna bersama anak-anak. Malah ada yang menikmati kehidupan lebih berjaya selepas bergelar ibu tunggal.

Ibu tunggal biasanya berusaha lebih gigih dan menggunakan sepenuhnya peluang bebas kongkongan daripada suami untuk berjaya. Mereka ingin memastikan nasib anak-anak tidak terabai. Malah ramai yang ingin membuktikan kepada bekas suami bahawa mereka boleh berdikari dan kebahagiaan hidup bukan bergantung kepada lelaki.

Tetapi, apakah matlamat perkahwinan `mesti' berakhir dengan perceraian. Jika perkahwinan diraikan sebagai hari paling gembira dan bersejarah, perceraian sepatutnya dianggap malapetaka paling besar.

Istilah perceraian sepatutnya tiada dalam kamus perkahwinan. Perceraian adalah jalan terakhir setelah segala usaha untuk mengekalkan rumah tangga gagal. Rakyat yang baik bermula dari keluarga yang bahagia.

Suami pelindung keluarga, bukan pencetus keganasan

Oleh : Lokman Ismail
Tarikh : 17/01/2012
Sumber : Berita Harian

LAPORAN media menyatakan lebih 95 peratus kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan kecederaan fizikal terhadap wanita, satu perkara perlu dipandang serius.

Dalam institusi perkahwinan, lelaki dijadikan sebagai ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadian lelaki yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding perempuan.

Firman Allah yang bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Ajaran Islam mensyaratkan supaya lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap perempuan. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak.

Amat malang jika lelaki yang diharap sebagai pelindung dan menjamin keselamatan perempuan bertindak sebaliknya. Laporan kes keganasan rumah tangga hingga mangsa terpaksa mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara membuktikan betapa seriusnya perkara ini.

Islam melarang sama sekali dilakukan sebarang kekerasan dalam rumah tangga. Biarpun ayat 34 surah an-Nisa membenarkan suami memukul isteri, ia tidak boleh dikategorikan sebagai kebenaran menggunakan penderaan atau kekerasan terhadap isteri.

Ayat 34 surah an-Nisa yang bermaksud: “Dan kepada mereka yang kamu khuatir akan kederhakaannya, berikan nasihat dulu, kemudian tinggalkan tempat tidurnya dan hendaklah kamu pukul.”

Keizinan memukul isteri itu jelas dalam konteks memberi pengajaran setelah cara nasihat dan memulau tidak berkesan untuk memperbaiki kesalahan isteri. Malah, pukulan itu sebenarnya hanya dalam tahap tidak mencederakan fizikal, sekadar menunjukkan ketegasan suami supaya isteri tidak lagi berani melakukan perkara tidak diingini.

Rasulullah SAW memberi ingatan dengan sabda bermaksud: “Mengapa ada lelaki dalam kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, pada hal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” (Hadis riwayat Ahmad)

Islam melebihkan suami pada kedudukan bukan bermakna berkuasa melakukan apa saja mengikut sesuka hatinya. Kuasa dan kekuatan dimiliki perlu digunakan untuk kebaikan, bukannya menimbulkan perkara buruk.

Suami mesti menunjukkan perasaan kasih sayang dan menyuburkan perasaan ceria serta gembira dalam keluarga. Amalan itu akan mewujudkan perasaan hormat dan sayang isteri terhadap suami.

Antara perkara boleh menyenangkan hati isteri ialah menolong melakukan kerja di rumah. Rasulullah SAW sering menolong meringankan tugas isterinya dengan melakukan sendiri seperti menjahit baju koyak, memasak, membersihkan laman dan kerja lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri daripada kamu.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri diakui oleh isteri baginda Siti Aisyah. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Aisyah pernah berkata: “Rasulullah tidak pernah sekali-kali memukul isterinya dan pembantunya.”

Isteri juga mempunyai peranan untuk mengelak berlaku keganasan rumah tangga. Lazimnya keganasan berlaku bermula dengan perang mulut. Sikap isteri cenderung mengeluarkan perkataan berunsur provokasi ketika bertengkar mengakibatkan tindak balas secara kekerasan oleh suami.

Lelaki tidak sabar biasanya tidak suka menggunakan suara untuk membalas 'serangan' isteri, sebaliknya akan melepaskan kemarahan dengan menggunakan kaki dan tangan hingga menyebabkan kecederaan, bahkan ada kes membawa maut.

Sebarang masalah perlu dileraikan dengan perbincangan berhemah. Sikap tidak mahu mengalah atau merasakan ‘ada hak’ perlu dipertahankan boleh merebak kepada keganasan fizikal. Ketika perasaan sedang marah, syaitan mudah mempengaruhi melakukan perbuatan boleh mendatangkan kesan lebih buruk.

Syaitan amat gemar masuk campur dalam pertelingkahan suami isteri dengan harapan berlaku perceraian. Syaitan amat berharap keruntuhan institusi rumah tangga kerana melaluinya lebih mudah berlaku kejahatan lain.

Bahkan, sebenarnya syaitan tidak suka jika lelaki dan perempuan mengambil keputusan berkahwin. Syaitan bersedih setiap kali berlaku ijab dan kabul menyatukan lelaki dan perempuan dalam ikatan perkahwinan sah. Jadi, jangan kita menggembirakan syaitan apabila berlaku perceraian atau perkara tidak baik dalam rumah tangga.

Tuduhan isteri berzina perlu ada bukti kukuh - Peguam Syarie Menulis

Oleh : Musa Awang
Tarikh : 09/05/2012
Sumber : Berita Harian

Jika tidak benar, pasangan boleh nafi dengan bersumpah di mahkamah syariah

SALAH satu alasan difailkan suami di Mahkamah Syariah sama ada dalam tuntutan suami bagi mengisytiharkan isteri nusyuz, derhaka, atau semasa membela tuntutan cerai oleh isteri ialah menuduh isteri ada hubungan atau berzina dengan lelaki lain.

Dalam sesetengah keadaan yang lain, ada suami menafikan kandungan yang dikandung isteri daripada darah dagingnya sendiri. Kedua-dua tuduhan ini suatu yang serius dan amat berat dalam Islam, walaupun tuduhan itu hanya dibuat secara bertulis semasa membela tuntutan perceraian isteri.

Suami yang menuduh isteri melakukan zina perlu membuktikannya dan ini menjadi beban melainkan beliau sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah.

Sebaliknya, jika suami tidak melihat kejadian itu atau tiada saksi yang menyaksikan isterinya berzina, tetapi dia yakin perkara itu berlaku, suami diharuskan oleh hukum syarak untuk bersumpah li’an (menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab anak yang dikandung isterinya).

Suami yang bersumpah li’an hendaklah bersumpah empat kali ‘bahawa dia adalah orang yang benar’ dan pada kali kelimanya, ‘bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta’.

Tuduhan suami hanya akan bersabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri menafikan tuduhan suami dan sanggup bersumpah, maka segala tuduhan suami dengan sendirinya akan tertolak.
Sama seperti suami, isteri perlu bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali ‘bahawa suaminya itu berdusta’ dan pada kali kelimanya ‘bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar’.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya saja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” (Surah An-Nur, ayat 6-9)

Tuntutan untuk kedua-dua sumpah ini perlu dilakukan di Mahkamah Syariah. Oleh itu, suami usahlah terlalu mudah membuat tuduhan terhadap isteri jika tiada bukti kukuh.

Menurut hukum syarak, jika yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Had qazaf hanya akan gugur jika beliau bersumpah.

Jika isteri yang dituduh pula tidak menafikan atau menolak tuduhan suaminya dengan bersumpah li’an, maka tuduhan suami boleh disabitkan sebagai benar dan isteri akan dikenakan hukuman seperti hukuman ke atas orang yang berzina.

Tetapi jika kedua-duanya bersumpah li’an, maka ia akan memberi kesan besar kepada hubungan suami isteri. Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li’an, maka ikatan perkahwinan akan terputus dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.

Ibnu ‘Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.” (Hadis riwayat Daruqutni)

Seksyen 50A, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan: Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difarakkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.

Hakim Syarie diberi kuasa untuk memerintahkan perkahwinan suami isteri itu dibubarkan, setelah salah seorang atau kedua-duanya bersumpah li’an di Mahkamah Syariah.

Tuduhan zina adalah suatu tuduhan yang berat, lebih-lebih lagi jika tuduhan dibuat terhadap isteri sendiri. Usah membuat tuduhan jika tiada bukti kukuh. Jika seorang suami tidak lagi mempercayai kejujuran isteri, maka gunakanlah kuasa talak dengan sebaiknya dan ceraikan isteri secara baik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Talak itu dua kali, maka hendaklah kamu pegang secara makruf atau kamu lepaskan secara ihsan.” (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat e-mel maa46050@yahoo.com

Sabtu, 5 April 2014

Perjuangan emansipasi ikut Barat bertentangan syarak - Peguam Syarie Menulis

Oleh : Yusmawati Ab Llah
Tarikh : 2014/03/19
Sumber : Berita Harian

Islam angkat martabat wanita sebagai pendamping, pelengkap lelaki

Islam mengangkat martabat dan kedudukan wanita di tempat yang mulia di sisi Allah SWT. Jika kita mengimbau sejarah silam jahiliah, kedudukan wanita dipandang hina sehingga ada yang sanggup membunuh anak perempuan kerana malu.
Pada zaman gelap jahiliah juga wanita tidak pernah diberikan tempat di mata masyarakat Arab jahiliah sehingga wanita dijadikan pelacur dan hamba kerakusan nafsu. Sebelum kedatangan Islam, seluruh umat manusia memandang hina wanita.

Sabda Rasulullah SAW: “Perlakukanlah wanita dengan baik kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Yang bengkok pada tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Bila engkau terlalu keras meluruskannya ia akan patah, tetapi bila engkau biarkan ia tetap bengkok. Kerana itu perlakukanlah wanita dengan baik.”

Bangsa Yunani menganggap wanita sebagai alat untuk keseronokan dan kesenangan saja. Bangsa Rom memberikan hak kepada ayah atau suami menjual anak perempuan atau isterinya. Bangsa Arab memberikan hak kepada anak untuk mewarisi isteri ayahnya.

Lebih malang lagi, wanita tidak mendapat hak waris untuk harta pusaka dan tidak berhak memiliki harta benda. Malah, anak perempuan telah dibunuh hidup-hidup tanpa dosa dan kesalahan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya daripada orang ramai, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.” (Surah an-Nahl, ayat 58)

Rahmat Allah SWT, cahaya Islam kemudian terbit menerangi kegelapan dengan risalah yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW memerangi segala bentuk kezaliman dan menjamin setiap hak manusia tanpa terkecuali.
Islam mengangkat martabat wanita, malah surah dalam al-Quran dinamakan an-Nisa’ membicarakan kedudukan wanita dalam Islam. Islam membenarkan pembabitan wanita dan lelaki dalam upacara keagamaan, kegiatan sosial serta politik.

Islam lindungi hak wanita

Islam juga melindungi hak wanita memiliki harta dan kekayaan melalui pewarisan, wasiat serta undang-undang. Menerusi perkahwinan, Islam memberikan hak kepada wanita terhadap mahar dan mas kahwin serta nafkah yang semuanya diwajibkan kepada lelaki.

Peruntukkan undang-undang syariah di negara ini juga dibuat bagi melindungi hak wanita yang dikahwini daripada sebarang bentuk penganiayaan. Seksyen 52 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan memperuntukkan isteri boleh menuntut cerai fasakh.

Kebenaran itu berdasarkan 12 sebab antaranya berlaku keganasan rumah tangga, pengabaian nafkah atau ketidakadilan dalam berpoligami.

Sungguhpun begitu, masih terdapat salah faham mengenai hak dan kedudukan wanita. Barat khususnya bersungguh-sungguh memperjuangkan hak asasi wanita yang sememangnya menyalahi hukum syarak seperti kebebasan seksualiti, kebebasan berpakaian dan persamaan jantina.

Akibatnya, di Barat, wanita menjadi pesaing kepada lelaki, bukan pendamping atau pelengkap seperti yang difitrahkan kejadian mereka. Sedangkan Allah SWT melarang lelaki melakukan kekerasan terhadap perempuan dan memerintahkan lelaki menyantuni wanita dengan sebaik-baik akhlak.

Sabda Rasulullah SAW: “Perlakukanlah wanita dengan baik kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Yang bengkok pada tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Bila engkau terlalu keras meluruskannya ia akan patah, tetapi bila engkau biarkan ia tetap bengkok. Kerana itu perlakukanlah wanita dengan baik.”

Bagi menjaga keistimewaan wanita, Allah SWT sudah meletakkan batas ataupun larangan demi memelihara martabat mereka. Malangnya, ada yang tidak memahami hikmah di sebalik larangan dan suruhan Allah SWT.

Mengikut hawa nafsu

Bahkan, ada yang berasa terkongkong kerana mengikut hawa nafsu sehinggakan ada yang mengatakan Islam tidak memberikan wanita kebebasan. Antara suruhan yang dianggap negatif seperti tuntutan menutup aurat, larangan bergaul bebas, menjaga akhlak dan tingkah laku.

Mereka berasakan larangan itu mengekang kebebasan wanita. Rasulullah SAW berpesan dalam sabda baginda: “Tidak akan memuliakan perempuan melainkan perempuan yang mulia dan tidak menghina akan perempuan melainkan perempuan yang hina.”

Wanita di Malaysia sungguh bertuah kerana Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan meletakkan hak sama rata untuk semua tanpa mengira jantina. Pengiktirafan ini menjadi bukti kejayaan wanita di negara ini untuk mencapai kesaksamaan gender.

Namun, persamaan gender ini perlu berpandukan kepada prinsip al-Quran dan sunah. Ini bermakna, ruang dan peluang yang lebih terbuka tersedia bagi wanita untuk mengorak langkah mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.

Perjuangan wanita masih belum berakhir kerana masih banyak cabaran harus ditangani.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Didakwa hina agama Islam

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
Tarikh : 28/03/2014

PUTRAJAYA 27 Mac - Bekas aktivis politik dan sosial, Dr. Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dalam sebuah seminar pada Februari lalu.

Kassim, 81, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang'.

Seminar tersebut diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, No. 1, Jalan PBH, Presint 8 di sini antara pukul 9 pagi dan 5 petang, 16 Februari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghina agama Islam ketika membentangkan satu skrip ucapan yang bertajuk 'Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Malaysia Untuk 30 tahun Akan Datang' dengan mengatakan Nabi Muhammad tidak perlu dimuliakan dan rambut wanita bukan aurat.

Pada masa yang sama, Kassim turut didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan memetik dua buku tulisannya yang telah diharamkan oleh Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu 'Hadis Suatu Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik'.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 7(B) dan pertuduhan kedua, Seksyen 9, masing-masing di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ibrahim Deris yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan sekiranya dibenarkan, beliau meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Kassim yang tidak diwakili peguam syarie pula memohon agar dibenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah memandangkan dia menghadapi masalah kesihatan, tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada bantuan kewangan tiga orang anak.

Hakim Syarie, Umamuddin Yunus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 7 April ini.

Tertuduh dibebaskan setelah menjelaskan wang jaminan tersebut.

Kassim yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya berunsur anti hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya, di Taman Kulim Perdana, Kelab Golf Kulim, Kedah semalam.

Polemik mengenainya tercetus selepas beliau dalam seminar itu mengeluarkan kenyataan mendakwa Islam di negara ini diseleweng selain mengkritik sistem ulama Islam yang disamakan dengan 'kasta paderi.'

Ekoran kenyataan berkenaan, pelbagai pihak mengecam Kassim sehingga menyebabkan Jakim dan Jawi menahannya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140328/ma_01/Didakwa-hina-agama-Islam#ixzz2xL7CZlKe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bicara kes pelanggaran tuntutan RM4.4j, 29 April

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 25/03/2014

KUALA LUMPUR 24 Mac - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 29 April ini untuk mendengar permohonan tunjuk sebab pelanggaran perintah bayaran tuntutan RM4.404 juta yang difailkan oleh bekas isteri ahli perniagaan, Datuk Rosman Ridzwan.

Peguam syarie, Siti Nor Aira Mat Johar yang mewakili Hayati Mohammad, 55, selaku pemohon memaklumkan demikian selepas kes itu disebut di hadapan Pendaftar, Halimatun Sa'adiah Mohd. Mahdee.

Rosman, 57, selaku responden yang tidak pernah hadir sepanjang sebutan kes sebelum ini, bagaimanapun hadir hari ini selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.

Menurut Siti Nor Aira, Rosman yang diwakili oleh peguam syarie, Yusmawati Ab. Ilah memfailkan pernyataan pembelaannya hari ini dan menafikan dakwaan bekas isterinya berhubung pelanggaran perintah pembayaran tersebut.

Menurut Siti Nor Aira, menerusi pernyataan pembelaannya, Rosman turut menafikan menerima sebarang saman daripada pemohon selain mendakwa, tidak menerima sebarang perintah mahkamah.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai tuntutan yang dibuat oleh Hayati melalui laporan akhbar.

Pada 22 Mac 2013, mahkamah mengeluarkan perintah supaya pengarah syarikat telekomunikasi itu membayar RM4.404 juta kepada Hayati merangkumi bayaran mutaah (RM2.826 juta), nafkah tertunggak (RM1.52 juta), edah (RM30,000) dan hutang membaiki rumah berjumlah RM28,393.

Bagaimanapun, Rosman gagal membayar jumlah itu dan Hayati memfailkan permohonan pada 9 Disember tahun lalu untuk mendapatkan kebenaran mengeluarkan notis tunjuk sebab secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap Rosman.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 27 Disember 1980, dikurniakan lima anak dan berpisah secara taklik pada 1 Mac 2007.

Rosman juga pernah berkahwin dengan dramatis Noniswara atau nama sebenarnya Monis Wara Baharuddin, 45, pada 31 Julai 2009 dan mereka bercerai secara taklik pada 18 Julai 2013.

Pada 28 September 2009, Rosman didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memukul bekas isterinya, Azura Ibrahim pada 2005.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140325/ma_01/Bicara-kes-pelanggaran-tuntutan-RM44j-29-April#ixzz2xL6UFWjO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 2 April 2014

Isteri libas suami guna penyapu

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my
Tarikh : 10/10/2011

KES isteri mendera suami benar-benar berlaku di Malaysia walaupun ia kedengaran agak pelik. Akhbar juga pernah melaporkan kejadian seperti itu sejak beberapa tahun lalu.

Misalnya, seorang isteri di Sungai Petani, Kedah, sanggup membelasah si suami hanya kerana lelaki itu sering menegurnya kerana terlalu taksub dengan bomoh.

Dakwa Ibrahim, 57, yang merupakan seorang peniaga, perubahan isterinya, Saleha, 39, bermula apabila seorang bomoh muda tinggal bersama di rumah bapa mertuanya.

Beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani berhubung insiden itu.

Pemangku Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang memberitahu, sejak setahun lalu pihaknya telah menerima 50 kes melibatkan aduan suami didera oleh isteri. Beliau percaya jumlah kes seperti itu meningkat setiap tahun.

Beliau tidak menolak angka sebenar lebih tinggi kerana kaum Adam lebih malu untuk bercerita perkara sebenar berbanding kaum hawa.

Kes

Walaupun banyak kes isteri mendera suami dilaporkan, kes suami memohon perceraian disebabkan didera isteri hanya mula dikesan difailkan di Mahkamah Syariah pada tahun lalu.

“Terdapat suami yang tidak tahan didera isteri sehingga dia memohon untuk bercerai.

“Saya berpendapat perkara ini mungkin disebabkan oleh sejarah keluarga isteri seperti ibu isteri yang garang dan pernah memukul ayahnya suatu ketika dahulu.

“Perkara itu diteruskan oleh isteri apabila dia berkahwin,” katanya kepada Jurnal.

Ujarnya lagi, faktor peribadi isteri yang garang dan tegas berbanding suami yang lembut turut mendorong isteri menjadi seorang pendera dalam rumah tangga.

“Akhirnya, isteri mula mengabaikan tanggungjawab dan mengetepikan batas-batas sebagai seorang isteri,” katanya.
Menurut Musa, bentuk penderaan yang dilakukan oleh isteri terhadap suami termasuklah menumbuk, menampar dan menendang.

Alat yang digunakan pula meliputi batang penyapu dan pinggan mangkuk.

Musa memberitahu, faktor ekonomi keluarga juga boleh menyebabkan berlaku kes penderaan suami.

“Isteri mungkin memberi sumbangan yang lebih banyak kepada ekonomi keluarga selain sikap suami yang kurang bertanggungjawab.

“Faktor lain ialah kurangnya pengetahuan agama dan pasangan gagal memahami semangat institusi perkahwinan,” katanya.

Bagaimanapun, suami yang didera boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1999 (Akta 521).

“Akta ini sebenarnya bukan sahaja melindungi isteri tetapi juga suami dan ahli keluarga yang lain.

“Ada juga suami yang memohon perintah tegahan daripada mahkamah bagi mengelakkan isteri daripada terus menderanya baik dari segi fizikal, emosi mahupun harta,” kata Musa.

Sementara itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Fadhlina Siddiq memberitahu, pihaknya kerap menerima aduan suami dicederakan isteri.

“Ini kerana isteri hilang rasa takut kepada suami sekali gus mendorong wanita itu menggunakan kekerasan.

“Oleh itu, pasangan perlu mengkaji semula aspek komunikasi, pengurusan ekonomi keluarga dan ikatan kasih sayang pada setiap lima tahun selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.

Lemah seks

Fahlina berkata, Abim telah memperkenalkan program pembangunan komuniti dikenali sebagai Tanmiyah al-Mutafakkir yang bertujuan membantu suami yang didera isteri.

“Program ini lebih berbentuk aduan panggilan telefon dan meminta khidmat nasihat khususnya bagi isu berkaitan keganasan rumah tangga. Masalah mereka akan diteliti oleh kumpulan peguam syarie Abim,” katanya.

Bagi pakar psikologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim, faktor suami yang lemah syahwat boleh mendorong isteri bertindak ganas.

“Suami kerap menolak ajakan isteri untuk melakukan hubungan seks sehingga isteri tidak mampu lagi melayan si suami hingga dia sanggup bertindak memukul suami.

“Sesiapa pun apabila tahap kesabaran tidak mampu dibendung lagi boleh melakukan perkara yang di luar kemampuannya,” ujar Suradi.
Katanya lagi, faktor peribadi seperti seorang wanita yang panas baran mungkin juga menjadi punca.

“Faktor perubatan dan emosi boleh mendorong isteri mendera suami seperti semasa dia meroyan selepas bersalin.

“Tetapi sebenarnya jika suami tidak buat hal, selalunya isteri tidak terdorong untuk mendera suami,” tegas beliau.

Suami ganas, Arisa larikan diri

Tarikh : 02/10/2013
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga

DI depan ahli keluarga pijak semut pun tak mati tetapi di belakang hanya Allah dan saya saja yang tahu," luah Arisa Yusuf (bukan nama sebenar), 26, membuka bicara.

Pada mulanya wanita muda ini enggan berkongsi kisah negatif rumah tangganya yang berlaku kira-kira tiga tahun lalu.

Namun, apabila dipujuk dengan tujuan untuk memberi iktibar dan membuka mata masyarakat, dia akhirnya bersetuju.

"Kami jatuh cinta pada usia muda, waktu di tingkatan lima dan kerana masing-masing tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kami pun mengambil keputusan untuk bernikah.

"Walaupun kehidupan sederhana dengan pendapatan yang kecil, itu tidak menjadi masalah kerana kami memang menyayangi antara satu sama lain," ujar Arisa yang menetap di Kuala Lumpur sejak dari kecil.

Kira-kira dua tahun selepas berumah tangga, suami Arisa, Affendi Sulaiman (bukan nama sebenar), 26, telah berjaya dalam permohonannya untuk menjadi anggota pasukan beruniform.

Ketika menjalani beberapa sesi latihan, Affendi tinggal di kem dan jarang dapat peluang untuk balik ke rumah.

"Pada mulanya saya amat bersyukur dengan tawaran pekerjaan tersebut. Namun lama kelamaan saya dapat rasakan hubungan kami makin renggang apabila dia semakin jarang balik.

"Sikap Affendi juga berubah. Dahulu dia memang tidak pernah marah saya. Namun semenjak memasuki kem latihan dia menjadi seorang yang baran. Pun begitu dia masih menyayangi saya dan sering menghantar khidmat pesanan ringkas berbunyi romantis pada saya.

"Disebabkan amat jarang berjumpa, pada pertemuan yang ada saya akan berusaha menyediakan hidangan yang begitu enak padanya. Saya pelajari resipi terbaru dan berhias sebaiknya untuk menambat hati suami.

"Satu malam selepas menikmati hidangan makan malam, Affendi turut menghadiahkan saya seutas jam tangan.

"Saya sangka malam kami begitu indah, hinggalah tangan saya direntap dengan kuat dan makanan yang ada di atas meja dilibas Affendi dengan pakaiannya.

"Jantung saya berdebar, saya amat takut dan melihat mata Affendi juga berubah menjadi merah. Dia kata dia sayang saya tapi terpaksa buat begitu supaya saya tidak mengambil kesempatan atas kebaikannya. Saya pelik kenapa dia bersikap begitu padahal dia dulu seorang yang lemah lembut sahaja," cerita Arisa yang masih tidak mempunyai cahaya mata.

Rupa-rupanya bukan sekali, malah episod penderaan emosi dan fizikal pada Arisa terjadi berkali-kali hingga satu hari Arisa mengambil keputusan lari dari rumah selepas Affendi mengugutnya dengan sebilah pisau ketika dia sedang mencuci pinggan di dapur.

"Saya panik, walau pisau itu kecil saja namun ia hampir mengenai tengkok saya. Dalam ketakutan saya pujuk Affendi untuk tidak mencederakan saya. Anehnya Affendi juga menangis tapi dia kata dia perlu melakukan sesuatu supaya cinta saya padanya tidak beralih pada lelaki lain.

"Saya memang musykil dengan sikapnya. Keadaan dirinya juga adakala kemas namun adakala kusut masai dan keanehan dirinya makin menjadi menjelang waktu malam.

"Berbalik kepada kisah saya keluar rumah tadi, saya memang sehelai sepinggang, paling jauh pun saya mampu terfikir rumah kak Nah, jiran belakang yang jarang saya bersembang namun beberapa kali terserempak di kedai. Entah kenapa pada kak Nah saya luahkan semua.

"Kak Nah juga menawarkan saya tidur di rumahnya pada malam itu. Kebetulan kak Nah ibu tunggal jadi saya tidak begitu kekok bermalam di rumah kak Nah.

"Setelah bersembang, kak Nah memberitahu saya bahawa dia pernah mendengar cerita yang hampir sama berlaku kepada sahabatnya dahulu.
"Kata kak Nah lagi sahabatnya itu telah merujuk kes pada seorang pakar psikologi dan juga seorang ustaz. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri cuma yang payahnya suami memang tidak akan mahu untuk dibawa ke mana-mana atas alasan dia tidak sakit dan dia tidak gila untuk bertemu pakar sakit jiwa.

"Suami saya ini kalau di depan orang lain terutama ahli keluarga memang baik dan bersopan santun, tapi sikap sebenarnya hanya saya yang tahu. Dan sekarang kak Nah juga tahu dan mahu menolong kami," cerita Arisa panjang lebar.

Akhirnya setelah memendam rasa selama setahun Arisa mengambil keputusan menuntut cerai fasakh. dia tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk berhadapan dengan suami yang ganas dan sukar diceritakan pada ahli keluarga akan sikap sebenarnya.

Pun begitu kehidupan Arisa tidak tenang kerana masih diganggu Affendi, sehingga akhirnya dia membawa diri ke timur semenanjung dan menemui ketenangan di sebuah perkampungan nelayan di sana.

Arisa juga menukar nama pengenalan diri dan mengubah penampilan diri agar sukar dikesan bekas suami.
Kini Arisa bergelar usahawan wanita dan selepas tiga tahun episod sedih berlalu dari hidupnya dia telah bertemu dengan seorang duda penyayang yang menyintai dirinya sepenuh hati


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131002/ke_01/Suami-ganas-Arisa-larikan-diri#ixzz2h1tG7yJS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 1 April 2014

Taat bukan lesen halalkan penderaan - Peguam Syarie Menulis

Oleh Marlina Amir Hamzah
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 08/06/2011


Isteri tidak sama pekerja seks kepada suami

SEJAK beberapa hari lalu kita digemparkan dengan penubuhan Kelab Taat Suami yang dikatakan sudah mempunyai 1,000 ahli terdiri daripada kalangan wanita kelas atasan, minda terbuka serta golongan intelek.

Kelab itu juga juga sedang memperluaskan cawangan ke negara Eropah, Britain, Perancis, Itali dan Jerman. Pengasas kelab itu adalah bekas pengikut kumpulan Al-Arqam.

Antara mesej kelab itu seperti dinyatakan Naib Presidennya, Dr Rohaya Mohamad adalah:
• Supaya isteri bersedia untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami demi mengelakkan suami berlaku curang atau mencari pelacur.
• Seorang isteri adalah pekerja seks yang baik bagi suami.
• Penderaan suami terhadap isteri adalah ujian daripada Allah kepada isteri dan isteri perlulah tetap mentaati suami.
• Membenarkan suami berkahwin lain sebagai ketaatan isteri terhadap suami.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah suatu akad yang menimbulkan hak serta tanggungjawab antara suami dan isteri. Seorang suami mempunyai hak untuk ditaati oleh isteri setakat dibenarkan hukum syarak manakala isteri mempunyai hak nafkah yang wajib disediakan oleh suami selagi isteri mentaati suaminya.

Permohonan Fasakh

Bagaimana seseorang boleh memohon Fasakh?


Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. 

Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman