Oleh : SITI NURAZLINA
JAMALUDIN
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 18/03/2015
KOTA BHARU 17 Mac – Lebih 100 pasangan di negeri ini membuat pendaftaran perkahwinan luar negara dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) dalam tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jaheaik, Mohd. Zawawi Che Hussin berkata, jumlah tersebut menunjukkan trend meningkat memandangkan pendaftaran perkahwinan luar negara bagi sepanjang tahun lalu hanya melibatkan lebih 200 pasangan sahaja.
“Saya tidak dapat memberi jumlah yang berkahwin di luar negara kerana pasangan terbabit perlu mendapatkan pengesahan pihak mahkamah dahulu sebelum membuat pendaftaran dengan Jaheaik.
“Maksudnya, banyak kes yang masih menunggu keputusan pihak mahkamah sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak sebelum membuat pendaftaran.
“Bagi tempoh Januari hingga semalam, lebih 100 pasangan mendaftarkan perkahwinan yang telah mendapat pengesahan pihak mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bilangan pasangan rakyat Malaysia yang bernikah di selatan Thai menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 3,831 pasangan tahun lalu berbanding 3,485 pasangan pada 2013.
Dilaporkan majoriti pasangan Malaysia adalah penduduk negeri yang bersempadan dengan selatan Thailand iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan tetapi jumlah itu tidak termasuk yang berkahwin menggunakan khidmat sindiket.
Menurut Mohd. Zawawi, terdapat kemungkinan pasangan yang telah mendapat pengesahan daripada mahkamah tetapi belum mendaftarkan perkahwinan mereka di sini.
“Justeru, tidak mustahil jumlah bagi tahun ini akan lebih tinggi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Minta maaf, sila emailkan pertanyaan anda kepada saya untuk tidak meng'aibkan dan menjaga privasi mereka yang bertanya.