Halaman

Rabu, 18 Disember 2013

Dua pemain Pahang didenda RM1,000

Oleh : SHAHRINNAHAR LATIB
Sumber : Utusan Malaysia


KUANTAN 17 Dis. - Dua pemain bola sepak Pahang, Mohd. Amirul Hadi Zainal dan Mohd. Zaiza Zainal Abidin bersama pasangan masing- masing didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas kesalahan berkhalwat di sebuah hotel pada September lalu.

Hakim Syarie Abdul Wahid Md. Ali Al-Fakwie menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Amirul Hadi, 27, Mohd. Zaiza, 23, dan pasangan mereka, Zuraida Muhammad, 26, serta Puteri Natalya Nurul Adzween Rosly, 23, selepas keempat-empat mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi, 10 September lalu ketika serbuan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di bilik berasingan di Hotel Vistana di sini.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 145(1)(2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ketua Pendakwaan Syarie, Sallehuddin Abdul Manaf memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap pasangan berkenaan kerana mereka yang tidak diwakili peguam syarie enggan merayu atas kesalahan dilakukan.



Abdul Wahid kemudian menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 selepas mengambil kira kesalahan pertama yang dilakukan oleh keempat-empat tertuduh selain berharap mereka bertaubat dan berkahwin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, JAIP telah menahan dua pemain bola sepak Pahang kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini.

Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa JAIP hasil maklumat orang awam yang mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan muhrim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minta maaf, sila emailkan pertanyaan anda kepada saya untuk tidak meng'aibkan dan menjaga privasi mereka yang bertanya.